Tun M: Cara pulih daripada politik wang, jawatan, dan kepartian hanya kerajaan perpaduan

Tun M: Cara pulih daripada politik wang, jawatan, dan kepartian hanya kerajaan perpaduan

Dr Mahathir Mohamad berkata politik negara terpalit dengan sindrom memperkayakan diri yang hanya boleh diatasi dengan penubuhan kerajaan perpaduan yang merentasi politik kepartian dan kepentingan peribadi.

Beliau berkata pembentukan kerajaan menerusi gabungan parti politik juga tidak akan membuahkan sokongan jelas daripada rakyat, sebagaimana yang diberikan pengundi kepada Barisan Nasional (BN) pada masa lalu.

Mahathir juga berkata, parti-parti yang sekarang juga tidak mampu memenangi pilihan raya dengan sendiri, justeru pembentukan kerajaan perpaduan yang melampaui politik kepartian adalah pendekatan terbaik.

Mahathir sebelum ini berusaha membentuk kerajaan perpaduan setelah Pakatan Harapan dijatuhkan dan beliau terpaksa berundur sebagai perdana menteri Feb tahun lalu.

Beliau berkata politik Malaysia terlalu dipengaruhi oleh kepentingan sempit dan merujuk kepada kerajaan Perikatan Nasional yang didirikan dengan menawar jawatan kepada pelbagai orang.

Beliau berkata walaupun begitu rapuh dan patut berundur, PN memperolehi kuasa-kuasa yang amat luas menerusi perisytiharan darurat bulan lalu.

“Kerajaan sekarang ditubuhkan oleh parti yang ditolak rakyat (pada PRU-14). Majoritinya amat rapuh…jadi ia kerajaan minoriti yang sepatutnya meletak jawatan, sebaliknya ia bertindak memperolehi pengisytiharan darurat dengan menggunakan alasan Covid-19, tetapi sebenarnya ia untuk tujuan politik,” kata Mahathir dalam wawancara khas dengan FMT.

Beliau berkata, susulan pengisytiharan darurat itu, kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang hanya mempunyai kelebihan dua Ahli Parlimen, kini mempunyai kuasa yang melebihi sebuah kerajaan majoriti.

Pengistiyharan darurat itu membuka laluan untuk Muhyiddin mengiystiharkan bahawa pilihan raya umum tidak akan diadakan buat masa ini, setelah beberapa Ahli Parlimen menarik balik sokongan terhadap kerajaannya.

Perkembangan itu sekali gus, menyebabkan keabsahanan kerajaan Muhyiddin sekali lagi dipertikaikan.

Sepanjang darurat, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri juga tidak boleh bersidang.

Mahathir berkata kestabilan negara sukar dipulihkan selagi parti politik, yang menurut beliau, berjumlah terlalu banyak, didorong kepentingan sempit dan kekayaan peribadi sehingga meminggirkan kepentingan negara.

“Ramai orang menyedari mereka boleh meraih kemewahan menerusi politik, tentunya secara tidak betul…jadi mereka nampak ini sebagai mata pencarian, bukannya khidmat kepada negara,” kata Mahathir.

“Apabila ini berlaku, sudah tentu akan berlaku persaingan antara mereka. Semua orang mahu menjadi Ahli Parlimen, EXCO, menteri, dan perdana menteri. Tumpuan mereka adalah wang yang boleh diraih.

“Jadi mereka (menubuhkan) pelbagai parti kerana semua orang mahu menjadi perdana menteri atau menubuhkan kerajaan sendiri. Ini mengalihkan tumpuan mereka daripada apa yang penting untuk negara,” kata Mahathir yang menerajui Malaysia 22 tahun selaku perdana menteri keempat.

Akhirnya, Mahathir berkata, timbul keadaan ahli politik berkenaan hanya memikirkan kepentingan diri atau kepentingan parti yang diwakilinya dan tidak mengutamakan negara.

Pertimbangan sempit mereka ini, menurut Mahathir, mengakibatkan negara terpaksa menderita dan Malaysia tidak mempunyai sebuah kerajaan yang ‘betul’.

Mahathir berkata, satu-satu cara untuk keluar daripada kemelut sekarang adalah untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan.

“Semua orang yang menyertainya harus melupakan kepentingan parti. Fikirkan kepentingan negara,” kata Mahathir.

“Saya telah mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan di mana semua orang boleh menyumbang kepada kerajaan, termasuk yang kalah dalam pilihan raya. Mereka juga boleh memberi pandangan mengenai kerajaan,” kata beliau.

Berita penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/07/kerajaan-perpaduan-satu-satu-cara-pulih-daripada-politik-wang-jawatan-dan-kepartian-kata-dr-m/

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )