Tempahan kuih bakul untuk Tahun Baru Cina merosot akibat Covid-19

Tempahan kuih bakul untuk Tahun Baru Cina merosot akibat Covid-19

Sudah menjadi tradisi bagi masyarakat Tionghua menyediakan kuih bakul sama ada sebagai juadah atau upacara sembahyang apabila tibanya sambutan Tahun Baru Cina.

Pada kebiasaannya, permintaan terhadap kuih bakul sentiasa tinggi bagi memenuhi tempahan dari seluruh negara.

Namun, pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak setahun lalu turut menjejaskan perniagaan termasuk kepada pembekal dari Kelantan.

Seorang pembuat kuih bakul tradisional, Chan Ah Wang, 72, berkata permintaan terhadap kuih bakulnya pada tahun ini merudum dengan begitu ketara.

Katanya, ia disebabkan pergerakan terhad masyarakat susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) membuatkan proses pemasaran turut terganggu.

“Biasanya kami menerima kira-kira 2,000 tempahan setiap tahun, tetapi tahun ini hanya 500 tempahan yang diterima.

“Ini mungkin disebabkan pergerakan yang terhad dan sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini juga diraikan secara sederhana,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di Kampung Kulim, Tumpat, semalam.

Chan berkata, untuk menyiapkan kuih bakul ia bukanlah mudah kerana memerlukan masa yang panjang. Misalnya, kata Chan, beras pulut dan gula perlu dikukus antara 12 hingga 18 jam.

Batal tempahan sebab PKP

Dia dan isterinya Owi Kiu Chu, 64, mengusahakan perniagaan yang diwarisi oleh ibu bapa mereka sejak beberapa tahun lalu.

“Generasi sekarang sudah hilang minat untuk membuat kuih tradisi, namun kami sekeluarga memilih untuk meneruskannya setiap kali perayaan tiba.

“Walaupun tahun ini permintaan agak menurun, sekurang-kurangnya ia dapat memenuhi tempahan dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Biasanya tempahan juga kami terima dari luar Kelantan, tapi sebab PKP memang tak boleh buat apa,” kata Chan.

Sementara itu bagi Poh Kim Hee, 66, dari Kampung Delima, Wakaf Bharu, turut mengalami kesuraman sama.

Katanya permintaan kuih bakul buatannya jauh merosot berbanding sebelum munculnya Covid-19.

Chan Ah Wang

Jelas Poh, tempahan pada tahun ini menurun kira-kira 40 peratus iaitu melibatkan kira-kira 400 kilogram (kg) beras pulut.

“Biasanya kami habiskan dalam 600kg, tahun ini cuma dalam 400kg sahaja.

“Banyak juga tempahan dibuat di saat-saat akhir, tapi terpaksa kami tolak sebab tak sempat nak buat.

“Ada tempahan dari luar Kelantan, tapi mereka akhirnya batalkan tempahan sebab tak dapat rentas negeri untuk datang ambil,” katanya.

Selalunya, kata Poh, tempahan diterima sebulan sebelum perayaan dua hari sebelum sambutan makan besar dia menghentikan penghasilan kuih bakul tersebut.

Sebagai rekod kuih bakul atau dalam bahasa Cina dipanggil sebagai nian goa yang membawa maksud “setahun lagi kehidupan, setingkat lagi kemajuan”.

Dalam tradisi membuat kuih itu, ia mempunyai pantang-larang tersendiri sekali gus menyebabkan proses pembuatannya agak mencabar.

Orang ramai dah tahu

Poh yang juga pesara guru berkata, pantang larang yang paling ditekankan ialah orang yang mahu memulakan proses pembuatannya mestilah tiada ahli keluarga yang baru meninggal dunia.

“Jadi kalau ada ahli keluarga meninggal, kami tak boleh buat. Selain itu yang paling mencabar juga mesti menjaga tutur kata dan perbualan.

“Kita tak boleh bercakap dan tak boleh sebut perkataan mengarut atau negatif.

“Kalau orang cakap kepada kita juga tak boleh. Itu pantang besar, kami percaya kuih itu akan jadi tak cantik dan memerlukan masa lebih lama untuk dimasak dengan sempurna,” katanya.

Sementara itu seorang penjual kuih bakul, Chan Siew Lee, 43, berkata permintaan kuih jualan pada tahun ini lebih meningkat berbanding tahun lalu.

Katanya, dia mengambil bekalan kuih bakul yang dibuat ibu saudaranya dan dijual kepada rakan-rakan dengan mengiklankan secara dalam talian.

“Tahun ini jualan saya meningkat, tapi untuk sekitar kawasan Kota Bharu saja. Selain itu ada tempahan daripada rakan-rakan. Saya juga ada buat iklan dalam media sosial.

“Bagi tempahan dari luar Kota Bharu, saya guna khidmat kurier untuk menghantaran, tapi bukan dalam kuantiti yang banyak.

“Saya mula niaga tahun lepas, jualan saya mungkin meningkat sebab orang semakin ramai tahu.

“Mungkin juga sebab PKP orang tak boleh keluar jauh untuk beli sendiri secara terus daripada pengeluar,” katanya.

Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/562411

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )