Dipercayai dera anak angkat berusia 14 bulan, suami isteri ditahan di Kok Lanas

Dipercayai dera anak angkat berusia 14 bulan, suami isteri ditahan di Kok Lanas

Sepasang suami isteri berusia 26 dan 31 tahun ditahan polis selepas dipercayai mendera anak angkat mereka berusia setahun dua bulan di sebuah rumah di Kok Lanas, di sini.

Kanak-kanak malang itu dilaporkan didera pasangan terbabit pada tahun lalu sebelum mereka ditahan pihak polis di rumah berkenaan, jam 1 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kanak-kanak perempuan terbabit dipercayai mengalami kecederaan pada badan, muka, dahi, tangan dan bengkak peha kanan.

“Kecederaan itu dikesan ibu kandung mangsa berusia 33 tahun apabila menemukan parut pada anggota badan sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan di daerah Besut.

“Kanak-kanak itu kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu sebelum pihak hospital melaporkan kes berkenaan kepada polis,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, kanak-kanak terbabit diserahkan kepada kedua-dua suspek yang juga keluarga angkatnya pada Ogos tahun lalu oleh ibu kandung kanak-kanak itu.

“Pada November tahun lalu, pasangan terbabit menyerahkan kembali mangsa kepada ibu kandungnya yang tinggal di Besut, Kuala Terengganu sebelum wanita (ibu kandung) menemukan kesan penderaan itu dan membawanya melakukan pemeriksaan,” katanya.

Katanya, hasil siasatan ujian saringan air kencing juga mendapati suspek lelaki positif dadah jenis Methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta kanak-kanak 2001.

“Kedua -dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 7 Februari,” katanya.

Berita penuh: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/670170/suami-isteri-ditahan-dera-anak-angkat-berusia-14-bulan

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )