Baru nak ‘tarik nafas lega’, seorang perniaga di Bachok diuji pula hilang tempat tinggal

Baru nak ‘tarik nafas lega’, seorang perniaga di Bachok diuji pula hilang tempat tinggal

“Kami baru nak ‘nyawa’ (tarik nafas lega) apabila dibenarkan berniaga selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tapi diuji pula hilang tempat tinggal,” kata penjual kuih, Halimah Mayin.

Rumah yang didiami Halimah, 60, sejak 24 tahun lalu, musnah dalam kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Alor Bakat, di sini, pada 3.30 pagi hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian dia bangun untuk menyiapkan kuih cucur topi untuk dijual di hadapan rumahnya sebelum terdengar bunyi letupan api sebelum terlihat api membakar karpet di ruang tamu rumahnya.

“Saya kejutkan anak, Lukman Khalil Azmi, 22, dan suruh dia ambil air untuk padamkan api di karpet, namun tak sedar api sudah marak hingga ke atas bumbung.

“Tanpa berlengah, saya dan anak terus keluar menyelamatkan diri sehelai sepinggang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Halimah berkata, suaminya, Azmi Wahab, 59, sempat menyelamatkan diri kerana ketika kejadian dia kebetulan berada dalam kereta Perodua Viva mereka.

Menurutnya, sejak beberapa hari lalu, dia dan suami memang berasa tidak sedap hati terutama suaminya yang menghidap kanser hati.

“Sudah beberapa hari suami berehat dalam kereta kerana ada masalah kesihatan iaitu kanser hati.

“Jadi, bila dia tidak selesa berada di dalam rumah, dia akan keluar ambil angin di luar ketika teman saya bangun buat kuih,” katanya.

Halimah berkata, suaminya bekerja sebagai tukang rambut dengan membuka kedai kecil depan rumah dan ia turut hangus terbakar.

Menurutnya, mereka baru mula berniaga sejak tiga hari lalu dan duit simpanan banyak digunakan untuk modal membuat kuih dan bina gerai kecil manakala suami menyediakan peralatan menggunting rambut mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti sarung tangan, alat sanitasi dan pelitup muka.

Kebakaran itu turut membabitkan rumah ibu tunggal warga emas, Siti Hawa Hamat, 71, yang tinggal tujuh beranak termasuk cucu berusia 10 bulan.

Siti Hawa berkata, dia bangun awal kerana mahu bersahur dan sempat makan kuih sebelum terdengar bunyi letupan api.

Terdahulu, mangsa dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelawat, Ab Azizz Kadir.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata, seramai 25 anggota bomba digerakkan ke lokasi dengan lima jentera dari BBP Bachok, Ketereh dan Pasir Tumboh.

Katanya, kebakaran membabitkan 90 peratus kediaman itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Berita penuh: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/02/674143/baru-nak-bernyawa-diuji-rumah-terbakar-pula-metrotv

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )