9 pertuduhan rasuah: Isa Samad disabit bersalah

9 pertuduhan rasuah: Isa Samad disabit bersalah

Bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad didapati bersalah atas semua sembilan pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah hotel di Sarawak.

Menurut hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dikenakan ke atas tertuduh.

Mohd Nazlan dijangka menyampaikan keputusan hukuman ke atas bekas menteri besar Negeri Sembilan tidak lama lagi.

Isa didakwa dengan sembilan pertuduhan menerima rasuah untuk dirinya sendiri wang bernilai RM3,090,000 daripada anggota Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel, melalui Muhammad Zahid Md Arip.

Zahid bekas orang kuat PKR yang kini menjadi salah seorang pemimpin Bersatu dan dilantik menjadi senator selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan Feb tahun lalu.

Pada 16 Jun 2020 mahkamah mengarahkan Isa membela diri atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie.

Isa didakwa menerima habuan tersebut sebagai imbuhan atas bantuannya meluluskan pembelian Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) ke atas Hotel Merdeka Palace & Suites berharga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Isa di Tingkat Level 49, Menara Felda, di Persiaran KLCC di antara 21 Jul 2014 dan 11 Dis 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16a(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum mengikut seksyen 24 (1) akta yang sama.

Isa berdepan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 – bergantung mana yang lebih tinggi.

Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/561478

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )